"Sejarah Islam membuktikan pemimpin hebat yang lahir ke pentas dunia tidak lahir secara kebetulan, spontan atau 'turun dari langit'. Mereka sebenar-benarnya lahir dari satu mekanisme didikan yang terancang sejak dari awal. Apa yang berlaku kepada Muhammad al-Fateh hanyalah suatu proses susur galur yang panjang Allah mempersiapkan perjalanan hambaNya yang akan merealisasikan sabda-Nya"

1. Sukar untuk mencari sumber asal yang bercakap mengenai Mehmet II secara khusus. Jika ada sekalipun, ia dalam bahasa Turki dan berada di Turki.
Yang biasa didapati adalah buku yang bercakap mengenai "big picture" kepada Mehmet II itu sendiri iaitu sejarah panjang Daulah Usmaniah secara holistik. Apabila anda berjaya mendapatkan buku-buku era klasik-kegemilangan Usmaniah karangan saintis Usmaniah muslim atau non-Muslim, nescaya anda akan temui beberapa helaian mukasurat sahaja bercakap mengenai Mehmet II. Mehmet II bagaikan tidak ada sebarang kelebihan pun berbanding Sultan sebelumnya mahupun selepasnya andaikata kayukur tebal mukasurat menjadi ukuran. Apa hikmahnya ?
Hanya beberapa buah kitab sahaja (sebagaimana saya pernah posting sebelum ini) yang bercakap dengan panjang lebar ataupun mempunyai bab khususnya mengenai Muhammad al-Fateh dan analisa faktor kemenangannya seperti karangan As-Shollabi.
Saya cuba melihat hikmah di sebalik 'terpencilnya' Muhammad al-Fateh di celahan buku sejarah. Kehebatannya melakar sejarah kecerdasan intelektual (IQ) seperti pemindahan 70 buah kapal dan penciptaan meriam pertama dunia Urban, mahupun kecerdasan emosional (EQ) seperti memimpin dengan jayanya bala tentera terbesar dunia seramai 250,000 pada masa itu, mahupun kecerdasan spiritual (SQ) seperti tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak kecil bagaikan tidak mendapat sedikitpun perhatian sejarawan besar Usmaniah seperti Halil Inalchik sehingga ia tidak perlu diagung-agungkan dan dibuat juzuk khas mengenainya.
Mungkin hikmah dari situasi ini menunjukkan al-Fateh menjadi hebat bukan kerana dia dilahirkan hebat (born to be a leader). Mungkin benar, mungkin tidak benar sumber-sumber yang menyatakan beberapa suasana 'miracle' melatari saat kelahiran Muhammad al-Fateh.
Al-Fateh menjadi kerdil dalam lipatan sejarah Usmaniah yang panjang kerana beliau hanyala matarantai kepada sebuah sejarah kepimpinan Usmaniah yang terlalu panjang melebihi ratusan tahun yang mempunyai pelbagai episod jatuhbangun.
Jika al-Fateh itu mahu dikatakan sangat hebat, adilkah kepada pemimpin Usmaniah yang lain seperti Sultan Beyazid, Sultan Murad, dan lain-lain pemimpin genius Usmaniah yang lahir dari 'rahim' tarbiyah Usmaniah yang sama. Adakah hanya kerana mereka tidak mampu menawan Konstantinopel, maka mereka tidak perlu dilihat hebat oleh para pencinta sejarah yang mahu mencari formula kemenangan Islam dari pedoman sejarah.
Kehebatan yang berlaku Muhammad al-Fateh adalah cerminan kepada kejayaan institusi tarbiyah Usmaniah. Kemampuan beliau memberikan idea pemindahan 70 buah kapal bukanlah kegeniusan beliau secara bersendirian, bahkan ini mungkin idea para pemikir di belakang beliau yang turut menerima didikan madrasah pemikiran historis, kritis dan kreatif oleh ulama Usmaniah yang lain. Kemampuan beliau menguasai 7 bahasa bukanlah menunjukkan kehebatan Al-Fateh seorang diri, mungkin ramai lagi ahli kabinet beliau yang menguasai banyak bahasa tetapi didiamkan sejarah. Kekuatan penguasaan banyak bahasa adalah simbolik kepada ketinggian martabat ilmu dan aktiviti penterjemahan serta dasar peluasan empayar secara 'lunak' (bahasa) yang ada pada Usmaniah dan para ulamaknya.
Al-Fateh tidak pernah meninggalkan tahajjud bukan sekadar kerana beliau mahu menjadi seperti itu. Ia ada kaitan dengan kekukuhan institusi tarbiyah 'sufism' dan elemen kerohanian yang menjadi asas kepada tarbiyah beliau ketika sejak kecil lagi.
Al-Fateh memanfaatkan saintis dari Hungary, Urban bukanlah semata-mata menunjukkan kebijaksanaan al-Fateh. Tetapi ia gambaran keterbukaan Usmaniah kepada sebarang teknologi dari mana-mana bangsa sahaj serta sikap inovatif yang sangat kuat ditekankan oleh institusi tarbiyah Usmaniah.
Justeru, jangan kita melihat secara tersurat sahaja apa yang disebut sejarah dalam kitab-kitab mereka.
Kehebatan, kegeniusan, kreatif dan rencam pemikiran, kesemuanya adalah "effect" kepada sesuatu "cause". Usah tenggelam dan menyatakan "WOW" kepada peristiwa terciptanya meriam pertama dunia oleh Urban. Usahlah menyatakan "WOW" kepada peristiwa berlayarnya 70 buah kapal di atas bukit bukau. Usahlah menyatakan "WOW" kepada Muhammad al-Fateh yang tidak pernah meninggalkan tahajjud.
Sindrom "WOW" atau hero-worshipping tidak memberikan faedah kepada generasi baru gerakan Islam. Apa yang dinyatakan "WOW" tersebut hanyalah "effects" kepada satu "real cause" yang lebih wajar untuk ditakjubi dan diteladani. Demikianlah SISTEM PENDIDIKAN ISLAM USMANIAH OLEH PARA ULAMA mereka. Sistem yang sama tetapi telah mengena pelbagai generasi kepimpinan Usmaniah yang berubah setiap zaman dan ketika.
Daurah malam itu tidak mampu pergi dengan begitu mendalam mengenai sistem pendidikan Usmaniah tersebut serta karakter para ulama mereka kerana ketidakhadiran Ustaz Hasrizal yang lebih pakar dalam bidang demikian.
2. Sengaja Rasulullah tidak menyebut nama (menta'yin) al-Fateh dalam hadis pembebasan Konstantinopel kerana sengaja baginda tidak mahu ummatnya ditimpa penyakit "hero-worshipping" iaitu memuja-muja kehadiran saat penantian pemimpin besar yang akan membebaskan Konstantinople.
Selama ini saya menjadikan hadis tersebut sebagai motivasi saya untuk mengkaji apa kelebihan yang ada kepada pemimpin pembebas Konstantinopel yang akhirnya sejarah memberikan jawapan bahawa beliau adalah Sultan Muhammad al-Fateh.
Namun, malam daurah tersebut saya melihat dari sudut yang berbeza. Iaitu :
"Ummat Muhammad bukan sekadar mampu menjadikan peristiwa 1453 sebagai pedoman untuk memenangkan Islam, bahkan rekod 800 tahun sebelum 1453 Masihi sendiri boleh dijadikan pedoman. Setiap percubaan para sahabat dan pemimpin khilafah sebelum Muhammad al-Fateh jangan hanya sekadar dilihat dari sudut kekurangan (tajrih) sahaja, tetapi juga mesti dilihat dari sudut keunikan dan kelebihan (ta'dil) yang ada pada setiap misi percubaan.
Bayangkan jika hadis itu ada ta'yin dan disebut terang-terangan "akan dibebaskan Kota Konstantinopel itu oleh Muhammad bin Murad" atau "akan dibebaskan Kota Konstantinople itu seorang pemimpin 800 tahun selepas kamu...", nescaya umat Muhammad hari ini mungkin hanya melihat rekod sejarah 800 tahun itu tidak mengandungi apa-apa pedoman yang boleh diteladani. 800 tahun tidak ada sebarang rekod generasi silam sangat dahsyat gerak kerja berpasukan mereka menuju visi yang jelas, tidak ada rekod pimpinan terdahulu Islam pernah melakukan pelbagai perancangan rapi dan berstrategi, tidak ada rekod mengenai kepentingan kerahsiaan perencanaan, tidak ada rekod kesan apabila integriti pimpinan hilang dan sebagainya. Mujurlah Allah menghadirkan rekod 800 tahun tersebut, hanya kerana perlumbaan para sahabat mahu menjadi individu dan pasukan yang dimaksudkan Nabi S.A.W tersebut, lantas rekod-rekod yang disebutkan tadi berlaku dan menjadi pedoman umat Islam.
Lantas apa yang berlaku kepada Muhammad al-Fateh dan apa yang sebenarnya berlaku kepada pimpinan sebelumnya boleh dikaji secara kajian perbandingan. Bukankah kajian perbandingan itu method yang lebih berkesan berbanding sesuatu peristiwa yang berlaku secara 'miracle' tanpa ada kaitan dengan peristiwa sebelum-sebelumnya di tempat yang sama ?

Hanya kerana Al-Fateh menggabungjalinkan kesemua keunikan dan kelebihan setiap percubaan itu (lantaran beliau dididik para ulama untuk mencermati sejarah dengan sangat kuat), maka baton kemenangan Allah berikan kepada beliau. Namun apabila mahu melihat rahsia kejayaan beliau, jangan melihatnya hanya secara 'isolated cases' yang tidak ada hubungkait dan rantaian dengan kelebihan-kelebihan percubaan yang mendahului Al-Fateh itu sendiri."
3. Muhammad al-Fateh hanyalah 'icon' kepada kekuatan institusi tarbiyah Usmaniah. Apa yang nampak "WOW" (uslub takjub orang Melayu) pada al-Fateh hanyalah cerminan dan biasan kepada kekuatan sebenar yang bersembunyi di sebalik sistem pendidikan Islam yang wujud dalam Usmaniah. Al-Fateh hanyalah salah seorang produk yang lahir dari sistem tersebut, kebetulan beliau sebagai seorang politician dan pemimpin tertinggi kerajaan, maka menjadi satu kelaziman sejarawan berpada menyebut nama beliau dan melihat kehebatan yang datang beliau sebagai satu kelebihan yang 'ditaqdirkan' milik beliau anugerah Tuhan, walhal hakikat yang sebenar mungkin berbeza.
4. Hadis pembebasan Konstantinople juga adalah mungkin isyarat Allah bahawa Allah memilih Turki sebagai bumi 'bersejarah' yang ummat Muhammad boleh berpada melihat ke sana jika sukar dan berat minda untuk tenggelam mengkaji sejarah dari tempat mahupun bangsa lain.
Di Istanbul itulah Al-Fateh merealisasikan 800 tahun penantian. Di bumi itu jugalah robohnya khilafah Islamiah sehingga ke saat ini tanpa bangkit semula. Di bumi itu jugalah sebuah gerakan Islam AKP sedang berdiri teguh, satu persatu menampilkan model terbaik kepada gerakan Islam dunia untuk kembali menguasai pentas politik demokrasi, bukan lagi sebagai pembangkang mahupun undi yang merosot (seperti berlaku PKS Indonesia dalam Pemilu mereka baru-baru ini)
Insya-Allah, sesi pertemuan IKPU pada masa akan datang adalah dengan :
1) Ustaz Ubaidillah sahabat saya yang bekesempatan lebih 2 tahun talaqqi dengan para masyayikh di Syria, beliau akan mengupas pandangan Syekh Sollabi dan para ulama Islam terkenal di tanah Arab mengenai Muhammad al-Fateh, dengan fokus menjurus kepada bagaimana karakter baginda dibina kerana itu lebih realistik dengan dunia tarbiyah gerakan Islam kontemporari.
2) Prof Redzuan Osman. Rakan-rakan IKPU di UM telah sudi untuk membantu saya untuk mendapatkan Prof yang telah membentangkan banyak kertas kerja mengenai "Mehmet II : Visionary Leader, Strategic Thinker" di pentas-pentas antarabangsa.

























