Seminar "Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453" Pada 28 Mei 2011

Click to enlarge

Hadir Beramai-Ramai Ke Seminar Muhammad Al-Fatih !

“Dan binalah persiapan bagi menghadapi mereka dengan apa sahaja kekuatan yang kamu mampu.”

Demikian surah Al-Anfal, ayat ke 60 yang direkodkan oleh Maulana Shekh Al-Kurani dari Sultan Muhammad bin Murad dalam suratnya kepada raja Mesir, Al-Asyraf Inal menyatakan dengan jelas faktor kejayaannya membuka Kota Konstantinopel.


Pembukaan kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fatih merupakan satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan Islam. Profesor Redzuan Othman menyatakan bahawa kejayaan yang dicapai Sultan Muhammad ini merupakan gabungan inspirasi yang membakar semangat dari para ulama, perancangan yang rapi berasaskan penyelidikan sejarah yang mendalam, kerja sepasukan yang jitu, pemilihan strategi ketenteraan yang sesuai pada waktunya dan keyakinan yang luarbiasa kepada pertolongan Allah Subhanahu Ta’ala. Dr Siddiq Fadzil pula menyifatkannya sebagai hadiah dari sebuah gerakan kependidikan yang panjang sejak dari pengislaman bangsa Mongol yang memusnahkan Baghdad sebelum itu lagi.


Atas asas ini, sebuah seminar akan diadakan sempena memperingati 558 tahun pembukaan Konstantinopel (kini Istanbul) pada 29 Mei 1453. Seminar “Ibrah Pembukaan Konstantinopel” akan diadakan pada hari Sabtu bersamaan 28 Mei 2011 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seminar anjuran Ibrah Paradigm Training & Consultancy dan One Heart Creative Solution ini bertujuan mendedahkan kepada masyarakat dan mahasiswa sebuah peristiwa yang telah mengubah perjalanan sejarah umat Islam selepas tragedi berdarah kejatuhan kerajaan Islam Abbasiah pada 1258 Masihi. Peristiwa yang membenarkan ramalan Nubuwwah ini wajar menjadi iktibar kepada generasi muda dalam usaha menjadikan nasib umat Islam khususnya di Malaysia pada masa akan datang lebih baik daripada keadaannya pada hari ini. Umat Islam mesti diberikan kesedaran dan pencerahan mengenai hukum sebab musabbab (the law of cause and effect) yang menjadi asas terpenting dalam pengkajian dan pembacaan sejarah jatuh bangun peradaban Islam.


Seminar ini dijangka menganalisa pemikiran strategik Sultan Muhammad sepanjang 53 hari kempen pembukaan kota Konstantinopel dilancarkan. Turut dianalisa adalah faktor-faktor kekebalan kota Konstantinopel sehingga 12 percubaan tentera Islam sebelumnya tidak mampu meruntuhkan keegoan empayar Kristian Byzantine zaman berzaman. Maulana Abul Hassan Ali An-Nadawiyy pernah menyebutkan bagaimana sifat teliti, berhati-hati dan matangnya persiapan taktikal Muhammad jauh mengatasi usianya sendiri yang baru 21 tahun ketika misi diumumkan kepada rakyat jelata. Penyediaan 140 buah kapal perang, 320 buah bot, 150 ribu askar, 12 ribu tentera Janissaries, 4 meriam gergasi, puluhan mortar dan ratusan ekor kerbau, sudah cukup menggambarkan persiapan Muhammad jauh terkehadapan dari masa dan zaman baginda hidup sendiri.


Beberapa pameran ringkas akan dipaparkan di dalam dan luar dewan bagi membawa peserta mengimbau sendiri bagaimana detik-detik pengepungan Konstantinopel pada 1453 Masihi itu yang nyata berbeza dengan 20 pengepungan yang dialami Byzantine sepanjang seabad kekuasaan mereka sebelum ini. Beberapa tayangan multimedia yang diperolehi dari Istanbul sendiri akan dikongsikan dengan peserta bagi memudahkan lagi proses mereka memahami bagaimana proses pembukaan kota terkebal di dunia itu dilakukan.


Selain buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh” terbitan PTS Milennia, para peserta seminar juga boleh mendapatkan sebuah buku terbaru bertajuk “Detik-Detik Konstantinopel” terbitan Mazni Irfan Publication, sebuah tesis ilmiah oleh Tuan Abdul Hamid Latip mengenai percubaan percubaan menawan Konstantinopel sejak dari zaman Muawiyah dan Abu Ayyub Al-Ansari lagi.


Seminar ini juga dijangka menganalisa ibrah terbesar dari peristiwa 1453 Masihi tersebut supaya ummah tidak selamanya ditimpa romanticism dan hero-worshipping dari kisah-kisah menakjubkan sepanjang pembukaan Kota Konstantinopel.


Sebagai contoh, ramai kalangan kita yang lebih gemar menganggap peristiwa pemindahan 70 buah kapal Othmaniyyah pada malam 22 April itu sebagai sebuah ‘miracle’ buat Muhammad, ‘tuah’ yang kebetulan diberikan Tuhan padanya dan tidak pada kita pada hari ini. Seandainya kajian mendalam dibuat bagaimana proses penorehan bukit, penebangan pokok, pencurahan minyak dan lemak haiwan, pemilihan masa dan arah peluncuran kapal, pemilihan bukit Galata (Pera) dan Tanduk Emas, nescaya kita akan dapati Muhammad tidak lebih dari hanya menggunakan segenap pengetahuan kejuruteraan, geografi, matematik, dan falak yang ada padanya. Kemudian ia dipadukan lagi dengan disiplin dan kesatuan kerja sepasukan tentera yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah walaupun sudah 2 minggu mengepung kota itu tanpa tanda-tanda kemenangan. Kesimpulannya, bantuan Allah yang datang kepada Sultan Muhammad dan tenteranya sehingga musuh tidak menyedari peristiwa itu terjadi adalah selepas Muhammad melakukan ikhtiar kemanusiaan mengoptimakan upaya akal fikiran semaksima mungkin untuk memenuhi hukum sebab akibat (sunnatullah). Ternyata ia bukan sebuah kisah karamah seorang wali Allah semata-mata, bahkan kisah kejayaan sebuah proses pendidikan Islam yang menyeluruh dan bermula sejak dari kecil dengan pemantauan yang ketat oleh ibubapanya dan para ulama, serta aplikasi seimbang tanpa dikomoti apa yang disebut pada hari ini dengan ‘aliran agama’ dan ‘aliran sains’.


Menjadi harapan semoga seminar ini berakhir dengan kejelasan peserta mengenai model pendidikan Islam era Othmaniyyah dan mekanisme pembentukan manusia berkualiti hingga melahirkan sebaik-sebaik pemimpin, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat pada masa itu.


Kertas kerja akan dibentangkan oleh panel-panel terbaik dalam pengkajian mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih. Mereka adalah Profesor Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sejarah dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan Ustaz Haji Hasrizal Jamil, Pengarah Urusan Saifulislam Training & Consultancy. Ucaptama akan disampaikan oleh novelis Islam terkenal tanahair iaitu Pak Latip atau Tuan Abdul Latip Talib yang juga menulis novel pertama dalam bahasa Melayu di Malaysia mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih.


Seminar ini juga akan diserikan lagi dengan persembahan khas dari kanak-kanak yang telah bertekad untuk menjadikan Sultan Muhammad Al-Fatih sebagai idola hidup mereka. Kanak-kanak ini adalah para pelajar di Khalifah Model School, Ampang, sebuah institusi pendidikan swasta yang unik dan tersendiri dalam membina dan membentuk generasi Islam di tanah air.


Meneladani Muhammad Al-Fatih bererti meneladani minda intelektualnya seiring dengan semangat aktivisme jihadnya. Halil Inalchik pernah merekodkan bahawa Sultan Al-Ghazi ini pernah belajar agama Kristian dari paderi Gennadius dan mengarahkan Amirutzes dari Trebizon, Critoboulus dari Imros dan Ciriaco dari Ancona untuk menulis sebuah risalah mengenai agama Kristian kepadanya. Amirutzes juga pernah diarahkan Sultan Muhammad menterjemah peta geografi Ptolemy padanya dan menyediakan perpustakaan khas istana dengan bahan-bahan manuskrip Latin dan Greek untuk dibacanya. Shekh Lutfi dilantik untuk menjaga perpustakaan yang menempatkan hampir 12 ribu jilid buku sebelum terbakar pada 1465 Masihi. Bagi persiapan peperangan dan pembukaan yang boleh membabitkan kecederaan ribuan tentera, Sultan Muhammad pernah mengarahkan penterjemahan karya Abul Qasim Az-Zahrawi iaitu At-Tashrif fil al-Thibbi ke dalam bahasa Turki, sebuah karya agung memperihalkan alat-alat bedah dan posisi pesakit ketika pembedahan. Sultan yang sama pernah mengarahkan seluruh tenaga pengajar madrasah-madrasah Othmaniyyah supaya memiliki enam buku wajib dalam bahasa Arab iaitu kitab Ash-Shihah, at-Takmilah, al-Qamus dan sebagainya.


Namun demikian, Sultan yang sama jua sentiasa direkodkan gigih meneruskan misi jihad dan tidak berpada dengan pencapaiannya di Konstantinopel dan gelaran Al-Fatih yang diperolehinya. Ternyata gelaran Al-Ghazi menyebabkan Sultan Muhammad sanggup turun dari kuda dan berjalan kaki bersama tentera menaiki bukit-bukau dan hutan tebal menuju kota Trabzon. Bahkan baginda wafat dalam sebuah misi pembukaan sebuah kota di Barat yang tidak diketahui tenteranya sendiri.


Daftarlah segera seminar yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia ini. Seminar ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan anak muda. Mudah-mudahan seminar ini akan berjalan lancar dan mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu wa Taala.


Muhamad Syaari Ab. Rahman
Pengarah,
Seminar Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453
Penulis Buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh”

Seminar Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453


 1.0 MUQADDIMAH


..Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, manakala tenteranya adalah sebaik-baik tentera...” (hadis direkodkan oleh Imam Ahmad)


Profesor Redzuan Osman dari Universiti Malaya menyebutkan bahawa penaklukan kota Constantinople oleh Sultan Muhammad II merupakan satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan Islam. Kejayaan yang dicapai ini merupakan gabungan inspirasi yang membakar semangat, perancangan yang rapi, kerja sepasukan yang jitu, strategi yang sesuai pada waktunya dan keyakinan kepada pertolongan Allah dalam membawa kejayaan. Ternyata usaha penaklukan ke atas kota ini oleh Sultan Muhammad ll boleh dijadikan iktibar dalam perjuangan membawa perubahan kepada ummah.


Diharapkan Seminar “Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453” ini akan menjadi satu usaha murni untuk membantu mendedahkan kepada khalayak satu peristiwa yang telah mengubah perjalanan sejarah umat Islam. Usaha Sultan Muhammad Al-Fateh wajar menjadi iktibar kepada generasi muda dalam usaha menjadikan nasib umat Islam pada masa akan datang lebih baik daripada umat Islam pada masa kini


2.0 RASIONAL


2.1 Mahasiswa dan masyarakat belum terdedah sepenuhnya mengenai kisah bersejarah penawanan Konstantinopel dari mereka yang benar-benar pakar dalam sejarah Osmanli Devlet atau sejarah Sultan Muhammad Al-Fatih. Kebanyakan sumber mengenainya belum diterjemahkan atau berkemungkinan besar tiada di Malaysia.


2.2 Keperluan memanfaatkan gelombang kesedaran mahasiswa dan masyarakat hasil penulisan novelis Abdul Latip Talib dan Syaari Abdul Rahman kebijaksanaan strategi dan ketinggian akhlak Sultan Muhammad Al-Fatih dan tenteranya, di samping sempena memperingati 558 tahun penawanan Konstantinopel pada 29 Mei 1453, peristiwa yang membenarkan ramalan nubuwwah Rasulullah S.A.W.


2.3 Belum pernah lagi diadakan sebarang seminar yang serius untuk mempertemukan pakar-pakar sejarah Islam Othmaniyyah (era Muhammad Al-Fatih) dan sekaligus mengeluarkan ibrah (pengajaran) terbesar untuk ummah supaya tidak selamanya ditimpa Romanticism kisah bersejarah tersebut. History always repeats by itself.


3.0 OBJEKTIF


3.1 Membuka minda mahasiswa dan masyarakat mengenai kebijaksanaan strategi dan ketinggian akhlak Sultan Muhammad bin Murad al-Fatih semasa penawanan Kota Konstantinopel. 


3.2 Menganalisa hikmah dan ibrah dari kejayaan penawanan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih sebagai pelajaran terbesar untuk ummah pada hari ini


3.3 Membetulkan cara melihat masyarakat pada sejarah Islam dan menimbulkan minat yang mendalam pada peserta untuk mencintai sejarah dan tokoh-tokoh Islam yang lain


3.4 Menghimpunkan sarjana-sarjana penting dari pakar-pakar sejarah Osmaniah dan Muhammad Al-Fatih dalam satu platform ke arah membentuk satu resolusi bertindak


4.0 PELAKSANAAN


4.1 Nama Seminar : "Seminar Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453" 

4.2 Tarikh : 28 Mei 2011 (Hari Sabtu) 

4.3 Masa : 9 pagi – 5 petang 

4.4 Tempat : Lecture Theatre 1, Kuliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

4.5 Pembentang Utama : Profesor Redzuan Othman dan Ustaz Haji Hasrizal Jamil

4.6 Anjuran :
Ibrah Paradigm Training and Consultancy
One Heart Creative Solution

4.7 Sasaran : Terbuka kepada semua mahasiswa dan masyarakat, dalam dan luar UIAM / terhad kepada 200 orang sahaja 


5.0 TENTATIF PROGRAM
Lampiran 1


6.0 PERINCIAN SLOT
Lampiran 2 



7.0 PENUTUP


Mudah-mudahan seminar ini menjadi langkah pertama dan batu loncatan ke arah menjadi tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai medan memuhasabah nasib dan masa depan ummah berdasarkan pelajaran terbesar dari sejarah penawanan kota terkebal di dunia sepanjang 10 abad itu.



LAMPIRAN 1
TENTATIF PROGRAM 


8.00-9.00 pagi : Ketibaan peserta dan pendaftaran


9.30-10.15 pagi : SESI 1 ~ PERASMIAN PEMBUKAAN
• Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran (wakil Persatuan Mahasiswa Turki di UIAM)
• Ucapan Aluan oleh Pengarah Seminar "Penawanan Konstantinopel 1453"
• Ucapan Perasmian
• Tayangan Multimedia Ringkas (Montaj Seminar)


10.15-10.30 pagi : Minum Pagi


10.30-12.00 t/hari : SESI 2 ~ PEMBENTANGAN KERTAS 1

Tajuk: "Penawanan Konstantinopel 1453 : Pemikiran Strategik Sultan Muhammad Al-Fatih"

Pembentang : Profesor Redzuan Othmanm, Dekan Fakulti Sejarah dan Sains Sosial, Universiti Malaya


Sesi Soal Jawab


12.00-12.30 petang : SESI 3 : SPECIAL PERFORMANCE

Pentomen Performance “We Are The Little Al-Fatih” by Khalifah Model School


12.30 – 2.30 petang : Solat Zuhur


2.30 – 3.00 petang : SESI 4 : MULTIMEDIA SESSION : “FETIH 1453 : Trailer From A Turkish Film”


3.00 – 4.30 petang : SESI 5~ PEMBENTANGAN KERTAS 2

Tajuk: "Penawanan Konstantinopel 1453 : Analisa Ibrah Buat Ummah”

Pembentang : Ustaz Haji Hasrizal Abdul Jamil, Principal Trainer Saifulislam Training and Consultancy

 Sesi Soal Jawab


4.30-5.30 petang : Resolusi, Solat Asar

6.00 - 7.30 petang : Tayangan Filem "Fetih 1453" 



LAMPIRAN 2

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA 1
Tajuk: "Penawanan Konstantinopel 1453 : Membongkar Pemikiran Strategik Sultan Muhammad Al-Fatih"


Objektif Kertas Kerja :

• Memahami fakta-fakta penting sekitar Kerajaan Islam Othmaniyyah, Empayar Rome Timur Byzantine dan kota Konstantinopel pada 1453 Masihi

• Memahami fakta-fakta penting percubaan demi percubaan menawan Kota Konstantinopel sebelum percubaan akhir oleh Muhammad Al-Fatih

• Memahami fakta-fakta penting kronologi penawanan Konstantinopel dari 6 April hinggalah 29 Mei 1453 Masihi

• Memahami strategiknya pemikiran Sultan Muhammad Al-Fatih dan persiapan baginda dan tenteranya dari segenap sudut

• Mengenali secara tidak langsung sumber-sumber utama mengenai sejarah Sultan Muhammad Al-Fatih


PEMBENTANGAN KERTAS 2

Tajuk:
"Penawanan Konstantinopel 1453 : Ibrah Penting Buat Ummah”

Objektif Kertas Kerja :

• Menganalisa ibrah atau pengajaran-pengajaran tersirat dari fakta-fakta tersurat mengenai kejayaan penawanan Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fatih

• Menganalisa bagaimana mekanisme pembentukan Muhammad Al-Fatih dan sistem pendidikan dan peranan ulama yang unggul yang kemuncaknya adalah lahirnya sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera

• Mengemukakan saranan-saranan bertindak yang konstruktif kepada mahasiswa dan masyarakat sebagai terjemahan dari sikap Ulil Albab yang bijak mengambil pelajaran secara realistik dan praktikal daripada setiap peristiwa bersejarah


MANA-MANA SAHABAT YANG SUDI UNTUK MEMBERIKAN SUMBANGAN ATAU SPONSOR KEPADA KELANCARAN PROGRAM SEMINAR INI ADALAH SANGAT-SANGAT DIALU-ALUKAN. 


SEMOGA KERJASAMA YANG AKAN DIJALINKAN AKAN MAMPU MENJADIKAN SEMINAR INI MENGHASILKAN IMPAK PENCERAHAN DAN INTELEKTUALISME YANG BESAR KEPADA MAHASISWA DAN UMMAH.