Seminar "Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453" Pada 28 Mei 2011

Click to enlarge

Benarkah 250,000 Usmaniah vs 8,000 Byzantium ?

Bedah Kitab Kuning (Siri 2) : Benarkah 250,000 Usmaniah vs 8,000 Byzantium ?

Demikianlah maklumat mengenai 8,000 pejuang terakhir Byzantium di Konstantinople, jumlah yang semacam 'mutawatir' sampai ke telinga saya selama ini. Apatah lagi menatap pelbagai video klip mengenai 1453 di Youtube.

Namun, apabila saya memberanikan diri membelek kitab-kitab kuning mengenai Muhammad al-Fateh, khususnya penulisan Dr. Saleem Rusydi (kitab "Muhammad al-Fateh", terbitan Kaherah), saya menemui maklumat sebenar mengenainya.

Sumber

"Telah hampir sepakat ahli sejarawan Rom bahawa anggaran jumlah tentera pertahanan Konstantinople pada masa itu (kepungan Al-Fateh) sekitar 8,000 pejuang. Hampir sepakat juga sejarawan Eropah moden pada angka ini.

Manakala sejarawan terkemuka Turki seperti Ahmad Mukhtar Basha dan Dhiya' Shakir, kedua-duanya cuba mengelakkan (dalam penulisan mereka) menyebut angka ini, kerana bimbang ia hanyalah suatu alasan yang cuba dikemukakan Rom yang menyebabkan mereka kalah (tidak mampu bersemuka secara seimbang dengan tentera Muhammad). Ahmad Shakir telah menyatakan jumlah tentera mereka pada masa itu sekitar tidak kurang dari 60,000 pejuang.

Manakala pada pandangan kami berdasarkan kajian kami pada pelbagai riwayat sejarah dan pelbagai lagi perkataan sejarawan Barat dan Turki sendiri, bahawasanya jumlah tentera Byzantium sebenarnya hampir mencecah 40,000 pejuang. (Dan perlu diingatkan di sebalik jumlah tersebut adanya benteng kuat mereka dan sangat tebal melindungi mereka)."
- Dr. Saleem Rusydi


Benarlah, sangat bijak musuh-musuh Islam menipu di sebalik sejarah yang sememangnya mereka tidak mampu mendustakannya pada dunia. Mereka tidak mampu menolak kebenaran Al-Fateh akhirnya berjaya menyelamatkan ratusan ribu rakyat Kristian Katholik dari terus dizalimi oleh Maharaja mereka demi survival politik mereka, namun mereka cuba menipu di celahan sejarah dengan menggambarkan kekalahan mereka kerana faktor kelemahan mereka sendiri dan kekurangan kuantiti pejuang-pejuang mereka akibat 'dasar perluasan kuasa' (istilah mereka) yang dilakukan oleh datuk-datuk Muhammad al-Fateh sehingga mengecilnya empayar mereka dan membesarkan empayar Usmaniah.

Mereka cuba memadamkan fakta bahawa Al-Fateh bertungkus lumus bertempur dengan 40,000 tentera mereka (5 kali ganda dari jumlah rekaan mereka), sehingga masa yang terpaksa diperuntukkan untuk tempoh pengepungan mencecah hampir dua bulan, walhal Usmaniah adalah tentera terbaik dunia ketika itu dalam taktik pengepungan. Mereka cuba menutup fakta kematian yang tidak sedikit di pihak tentera Islam - khususnya ketika serangan terakhir dari terowong bawah tanah menembusi dari dalam kota Konstantinople - dan betapa sukarnya misi tentera Islam mencapai kemenangan. Mereka cuba menafikan faktor pergantungan Al-Fateh yang sangat bulat kepada Tuhan dan cintakan syahid(SQ), semangat tidak berputus asa yang sangat dahsyat (EQ) dan kegeniusan Sultan Muhammmad (IQ) di sebalik kejayaan menawan ibukota Byzantium yang kebal selama lebih 10 abad tersebut.